Capture

CSA dan kestabilan politik negara

By Fakhrurrazi Rashid

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengemukakan tawaran dan kerjasama dwipartisan kepada ahli parlimen pembangkang bagi memastikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan dirinya “survive” dalam undi percaya pada persidangan parlimen bulan September nanti.

Muhyiddin menawarkan satu bentuk perjanjian dipanggil Confidence and Supply Agreement (CSA).

Perkara ini selalunya dibuat kerajaan minoriti di dalam parlimen Westminster untuk memastikan pihak pembangkang tidak membuat usul undi tidak percaya kepada perdana menteri sebagai balasan, kerajaan melibatkan pembangkang dalam proses membuat dasar dan tadbir urus negara.

Di Malaysia, konsep CSA ini dilaksanakan di Perak apabila Pakatan Harapan (PH) negeri membuat CSA bersama Umno untuk menyokong Saarani Mohamad sebagai menteri besar baharu menggantikan Faizal Azumu yang gagal dalam undi percaya pada 4 Disember, 2020.

Sebagai balasan, kerajaan negeri Perak memberi peruntukan tahunan kepada Adun pembangkang di Perak disamping menjanjikan reformasi institusi dan memberi akses kepada pembangkang menghadiri mesyuarat di peringkat daerah dan negeri.

Kerajaan PN Johor bersama Adun pembangkang secara tidak langsung telah melakukan dwipartisan dan CSA sejak peralihan kerajaan berlaku. Kedudukan kerajaan PN Johor tidak stabil, sebanyak 29 kerusi berbanding pembangkang yang mempunyai 27 kerusi, iaitu majoriti tipis dengan kelebihan dua kerusi saja.

Menyedari hakikat ini, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad melihat pembangkang sebagai rakan strategik. Adun pembangkang diberi peruntukan kawasan dan kerajaan negeri boleh meneruskan pentadbiran selagi mendapat kepercayaan DUN Johor.

Dua perkara yang  boleh kita lihat dalam CSA dan kerjasama dwipartisan di Perak dan Johor.

Pertama, CSA di Perak dan Johor berjalan secara terbuka dan demokratik bagi menyelesaikan ketidakstabilan kerajaan negeri. Kedua, CSA yang dibuat kerajaan Muhyiddin kepada pembangkang terlalu lewat, yakni ketika kedudukan mereka nyawa-nyawa ikan di parlimen.

Persoalannya, sejauh manakah CSA Muhyiddin akan berjaya dalam menyelesaikan kebuntuan krisis politik negara?

Tawaran penuh persoalan

Tujuh tawaran Muhyiddin kepada pembangkang tempoh hari berkisar tentang perubahan institusi parlimen seperti status ketua pembangkang diiktiraf sebagai menteri kanan dan jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang lebih seimbang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas.

Muhyiddin turut berjanji akan mempercepatkan pelaksanaan Undi 18, menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal, dan menggubal Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti.

CSA ini dilihat mampu menarik sokongan beberapa ahli Parlimen pembangkang. Tawaran ini akan memperkukuh peranan parlimen yang selama ini dipinggirkan kerajaan ketika pandemik dan krisis ekonomi masih tidak menentu.

Tetapi, tawaran ini menimbulkan pelbagai persoalan, khususnya komitmen Muhyiddin untuk melaksanakan CSA tersebut.

Pertama, perubahan Parlimen dibawa Muhyiddin dipersoalkan memandangkan rekod kerajaan PN mengangkat fungsi parlimen amat buruk sehinggakan mereka menggantung peranan institusi ini  ketika darurat.

Kedua, CSA kerajaan PN dilihat tidak jujur apabila ingin melaksanakan segera Undi 18 dan RUU menghadkan tempoh perdana menteri yang mereka bakul sampahkan sebelum ini. Perkara ini sepatutnya diteruskan kerajaan PN memandangkan ia dibawa dan diluluskan Parlimen sejak 2019.

Ketiga, Muhyiddin mempunyai rekod buruk dalam menunaikan janji. Ketika menjadi menteri dalam negeri sewaktu PH memerintah, Muhyiddin gagal mengotakan janji untuk memansuhkan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Maka, apakah jaminan Muhyiddin akan melaksanakan CSA dalam perubahan institusi dan undang-undang?

Keempat, tempoh masa melaksanakan CSA amat singkat. Muhyiddin memberitahu rakyat pilihan raya umum akan berlaku paling lewat pada Julai 2022. Dengan tempoh berbaki setahun ini, apakah ketujuh-tujuh tawaran Muhyiddin ini mampu dilaksanakan sedangkan dilaksanakan?

Ternyata, CSA ini menimbulkan pelbagai persoalan berbanding penyelesaian. Namun, selagi Muhyiddin masih menjadi perdana menteri dan pembangkang gagal membentuk kerajaan, CSA ini masih boleh dirunding dan ditambah baik oleh ahli Parlimen pembangkang.

Persetujuan pembangkang menerima CSA Muhyiddin bukan bermaksud mereka menyokong kerajaan PN.

Tetapi, ia hanyalah satu persetujuan yang memberi ruang kepada kerajaan memperbaiki kelemahan dan ia boleh dibatalkan sekiranya pilihan raya berlaku atau kerajaan PN melanggar perjanjian tersebut. Persoalannya, adakah CSA ini masih sempat dikaji semula?

CSA kunci kestabilan kerajaan

Faktanya, CSA yang ditawarkan Muhyiddin tidak kena dari segi masa dan mood rakyat yang sudah hilang sabar dengan kegagalan PN.

Tetapi, CSA yang diumumkan ini sebenarnya memberi tamparan hebat buat parti-parti pembangkang yang didakwa gagal mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan baru dengan mencalonkan seorang Perdana Menteri.

Hayat Muhyiddin sebagai perdana menteri mungkin tidak lama. Tetapi, jika Muhyiddin tumbang, adakah perbincangan mengenai tawaran CSA ini akan berakhir juga? Tentunya tidak.

Hakikatnya, mana-mana kerajaan yang dibentuk selepas undi percaya atau pertukaran kerajaan, perlu membuat tawaran CSA.

Ini kerana, kebanyakan gabungan parti di parlimen  tidak mempunyai majoriti dan hanya mampu membentuk kerajaan minoriti yang memerlukan kepercayaan pembangkang untuk meneruskan pentadbiran sebelum pilihan raya umum.

Maksudnya, jika PH menjadi kerajaan minoriti, maka apakah CSA yang akan ditawarkan kepada Umno, Pejuang, Warisan, dan PN untuk mengekalkan kepercayaan di dalam Parlimen.

Begitu juga sekiranya Barisan Nasional atau PN membentuk kerajaan minoriti, mereka perlu merangka CSA bagi mewujudkan kerjasama dwipartisan dengan pembangkang demi mendapat kepercayaan Parlimen untuk  mentadbir negara.

Gabungan parti yang membuat tawaran CSA yang baik dan boleh disepakati secara dwipartisan, dapat membentuk kerajaan minoriti yang kukuh di parlimen. Agak naif sekiranya mana-mana parti meminggirkan peranan CSA dalam membentuk kestabilan politik negara.

Justeru itu, parti yang menentang PN seharusnya merangka CSA yang lebih baik daripada Muhyiddin untuk membentuk kerajaan minoriti yang stabil. Jika tidak, rakyat akan rasa kecewa dan pembangkang juga terpaksa menanggung bebannya kelak.

Apa sekalipun, rakyat mahu krisis politik ini diselesaikan segera supaya kerajaan yang dibentuk nanti dapat menumpukan sepenuhnya usaha mengatasi penularan Covid-19 dan menguruskan ekonomi rakyat.

Menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, rakyat perlukan sebuah kepimpinan yang kukuh untuk memimpin negara berdepan cabaran pandemik dan ekonomi rakyat yang masih tidak menentu.

-Published in The Malaysian Insight on 15 August 2021.