Cari kekuatan pemulihan ekonomi pada persidangan Parlimen akan datang

Semua ahli Dewan Rakyat seharusnya melihat pentingnya menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa selain mencari kekuatan bagi pemulihan ekonomi seandainya sidang Dewan Rakyat dibuka kelak.

Menurut Pegawai Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid, banyak perkara yang telah ditangguhkan oleh kerajaan untuk dibahaskan di dalam Parlimen sebelum ini.

Oleh itu katanya adalah wajar bagi semua Ahli Parlimen untuk bijak meletakkan kepentingan negara membabitkan rakyat mendahului kepentingan politik kepartian semasa.

“Saya fikir salah satu aspek ialah Pelan Pemulihan Negara perlu disertakan sekali dalam rancangan Malaysia ke-12 yang telah ditangguhkan perbahasan selama satu setengah tahun. Sebab pemulihan negara ini memiliki beberapa indikator dari segi kes harian dan sebagainya.

Kalaulah Pelan Pemulihan Negara ini dimasukkan sekali dalam Rancangan Malaysia ke-12 saya kira perspektif pelan jangka masa panjang itu lebih realistik,” katanya pada Rabu.

Dia juga berpendapat bahawa Parlimen perlu dibuka dengan segera tanpa perlu menunggu sehingga pada peringkat pemulihan Fasa Ketiga.

Ini kerana jelasnya ia akan membebankan kerajaan untuk membahaskan beberapa isu yang tertangguh.

“Jika sesi Parlimen itu dilewatkan ia sudah pastinya akan mengganggu Belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan. Jika kita lihat pada sidang Belanjawan 2021, perbahasan hanya tertumpu kepada Belanjawan sahaja tanpa sempat memberi fokus kepada isu dan kepentingan yang lain,” tambahnya.

Dalam masa yang sama Fakhrurazi juga berpandangan Ahli Parlimen tidak sepatutnya terlalu hanya menumpukan aspek politik semata-mata sebaik Parlimen dibuka kelak.

Malah katanya pihak kerajaan juga seharusnya menjalinkan kerjasama yang baik dengan pihak Pembangkang.

“Kalau kita lihat pada hari ini apa yang berlaku ketika ini adalah hasil dominasi Eksekutif dalam membuat keputusan yang penting buat rakyat tanpa semak dan imbang daripada Parlimen.

“Saya kira yang yang diperlukan oleh kerajaan sekarang ialah menyahut seruan Pembangkang dan ia akan memberi contoh terbaik kepada rakyat bahawa institusi Parlimen adalah medan menyelesaikan masalah demi kepentingan rakyat,” jelasnya lagi.

– Published in  Astro AWANI on 16 June 2021.

 

Your Cart
SUPPORT US