713786

Bersediakah Malaysia untuk sistem berbilang parti?

By Fakhrurrazi Rashid

Perkembangan politik Malaysia semakin menarik dari sehari ke sehari di sebalik pihak tertentu melihatnya sebagai cacamarba. Tidak kenal siapa kawan siapa lawan. Siapa duduk gabungan parti mana dan siapa tidak duduk dengan gabungan mana.

Itulah hakikat politik – tidak ada yang tetap, malah yang “tetap” itu hanyalah faktor untuk perubahan. Kalau tidak berubah, mungkin ada sesuatu yang tidak sihat dalam demokrasi negara.

Jika dahulu, kita hanya ada dua gabungan parti politik yang berentap dalam gelanggang pilihan raya yakni BN lawan Pakatan Rakyat (2013) dan Pakatan Harapan (2018).

Kini wujud pula gabungan baru dinamakan Perikatan Nasional (PN) yang diwujudkan diawal krisis pandemik Covid-19 melanda.

Bahkan, kita dapat lihat kemunculan parti-parti baru seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai alternatif kepada PN, PH, dan BN. Kehadiran mereka sebenarnya menambahkan warna politik negara yang kian sengit, terbuka, dan boleh menyebabkan berlakunya parlimen tergantung (hung parliament).

Sedar atau tidak, politik negara menuju ke arah sistem berbilang parti (multi party system) dengan tiada mana-mana parti atau gabungan boleh mendapat majoriti di parlimen. Namun, persoalan lebih penting ialah apakah keuntungan dan risiko yang bakal dihadapi oleh rakyat dalam sistem berbilang parti? Sejauh manakah sistem ini dapat membentuk sebuah demokrasi yang matang dan berdaya saing di Malaysia?

Ada yang menyatakan sistem ini sukar berlaku di negara yang berkiblatkan sistem Westminster dengan cara pengundian first past the post berbanding negara menggunakan pengundian proportional representation seperti Sweden dan Jerman. Namun, fakta ini kurang tepat.

Persaingan sengit politik di Australia dan Britain sedekad yang lalu menyebabkan tidak ada parti tunggal mendapat majoriti mudah di parlimen. Situasi ini hanya dapat diselesikan sekiranya parlimen berjaya membentuk kerajaan minoriti atau kerajaan gabungan (coalition government).

Berpotensi meraih undi rakyat

Contohnya pembentukan kerajaan minoriti Parti Buruh Australia pada 2010 dan kerajaan gabungan Konservatif dan Liberal Demokrat pada 2010.

Tetapi, apakah keuntungan yang rakyat dapat dengan sistem berbilang parti?

Pertama, pengundi mempunyai pelbagai pilihan semasa pilihan raya. Mereka tidak terikat lagi untuk memilih hanya satu daripada dua gabungan parti seperti dulu yang sering menawarkan dasar yang tidak selari dengan pelbagai pengundi. Justeru pengundi boleh fokus kepada sebuah parti dirasakan dekat dengan isu yang diperjuangkan mereka tanpa perlu memilih parti yang tidak serius membawa idea mereka.

Kedua, sistem ini turut memperluaskan budaya politik dasar. Rakyat boleh terlibat secara aktif untuk memberi idea dan cadangan kepada parti politik dalam sesuatu isu.

Parti dengan tawaran yang terbaik – sama ada parti baru atau lama, besar atau kecil – berpotensi untuk meraih undi rakyat dalam keadaan persaingan sengit dan terbuka.

Ketiga, kuasa ‘diktator’ seorang perdana menteri dapat dihapuskan dalam sistem berbilang parti. Perdana menteri perlu bertindak dengan memenuhi setiap dasar yang ditetapkan bersama oleh gabungan parti politik. Sekiranya gagal, parti politik dalam gabungan terbabit boleh menarik sokongan mereka dan kerajaan hilang kepercayaan untuk mentadbir negara.

Ia mencipta kuasa kolektif dan pengaruh parti politik lebih besar berbanding dominasi perdana menteri dalam menentukan sesuatu dasar dan keputusan kerajaan.

Bagaimanapun sistem berbilang parti sering dikaitkan dengan ketidakstabilan kerajaan. Proses untuk membentuk kerajaan adalah rumit dan mengambil waktu yang panjang untuk memberi ruang parti-parti politik berunding bagi membentuk konsensus.

Tidak kira sekecil mana pun perwakilan parti itu di dalam parlimen, mereka dianggap penting untuk mencapai jumlah majoriti mudah di bagi membentuk kerajaan.

Proses membuat keputusan kerajaan juga akan menjadi lebih panjang. Dalam sebuah kerajaan gabungan atau minoriti, perdana menteri perlu mengambil kira kepentingan setiap parti gabungan agar kedudukannya tidak tergugat.

Jika kerajaan gagal mencapai konsensus, maka risiko untuk kerajaan tumbang dan bertukar amat tinggi.

Sedia terima realiti baru

Tetapi kelemahan sistem ini dapat diatasi sekiranya institusi demokrasi ditambah baik dengan kerjasama semua parti dan ahli parlimen bersikap toleransi serta terbuka agar situasi ‘menang-menang’ dapat diwujudkan.

Malangnya, apa yang kita saksikan hari ini amat mengecewakan. PN dan Umno masih berfikir cara lama dengan menconggak-congak untuk mendapat majoriti dua per tiga di parlimen.

Ada pula parti politik yang hanya memberi fokus kepada jawatan perdana menteri untuk menang pilihan raya. Adakah ini menunjukkan parti politik di Malaysia bersedia menghadapai sistem berbilang parti?

Suka atau tidak, parti politik perlu meraikan perubahan yang mencambah sistem demokrasi negara. Perkembangan politik ke arah sistem berbilang parti menunjukkan negara kita bergerak ke arah persaingan yang lebih matang dan terbuka.

Ia menggalakkan penyertaan orang ramai, pelbagai parti politik dan kumpulan masyarakat untuk terlibat dalam ruang demokrasi negara.

Rakyat kini sudah celik dan majoritinya mengambil serius kepada fakta yang tepat berbanding emosi semata-mata.

Saya percaya, parti yang berjaya menawarkan dasar berkualiti – walaupun ia bersaiz dan ahlinya kecil – mampu meraih sokongan rakyat ketika politik identiti berasaskan kaum masih menebal dalam negara.

Saya optimis bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia menerima realiti baru ini. Cuma, penerangan mengenai sistem berbilang parti harus diperluaskan agar semua orang tidak gusar serta tahu peranan masing-masing jika berhadapan situasi kompleks seperti pembentukan kerajaan minoriti atau kerajaan gabungan pada masa akan datang.

-Published in Malaysiakini on 6 May 2021.