Sekiranya Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk terus bergerak solo dalam pilihan raya akan datang, ia merupakan berita buruk buat Muafakat Nasional (MN).
Pengarah Komunikasi pusat kajian Research for Social Advancement (REFSA), Raja Ahmad Iskandar Fareez berkata, kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu menunjukkan gabungan itu mampu untuk bergerak solo.
“Kalau saya salah seorang ahli strategi BN, saya akan katakan kita tidak perlu MN dan kita boleh bergerak secara sendirian. Kita boleh lihat semalam juga ada seorang ahli Pas cuba menghidupkan semula perbincangan MN.
“Tapi saya rasa mungkin kalau bagi pihak BN, mereka tidak berapa minat strategi begini. Kita dapat lihat dalam PRU15 atau pilihan raya akan datang, lebih banyak lagi persaingan tiga penjuru.
“Walaupun kita dapat lihat keputusan semalam, tidak semestinya ia menunjukkan keputusan pilihan raya akan datang. Gambaran situasi pada semalam akan menjadi strategi dan hala tuju kepada parti bertanding,” katanya dalam Buletin AWANI pada Ahad.
Tambahnya, berdasarkan keputusan PRN Melaka yang menyaksikan BN menang besar, kemungkinan untuk gabungan itu untuk bergerak solo adalah amat besar.
PRN Melaka menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru yang turut melibatkan dua gabungan parti yang membentuk kerajaan, BN dan Perikatan Nasional (PN).
Keputusan BN untuk bergerak solo dalam pilihan raya tersebut dilihat membuahkan hasil selepas gabungan itu berjaya memenangi PRN Melaka ke-15, dengan kedudukan selesa dua pertiga majoriti.
Keputusan rasmi menunjukkan BN, yang diwakili UMNO, MCA, dan MIC berjaya mendapat 21 daripada keseluruhan 28 kerusi.
Dengan jumlah kerusi yang dimenangi itu, mereka berjaya membentuk kerajaan negeri dengan kekuatan sendiri, sekali gus memberi tamparan kepada Perikatan Nasional (PN) pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
-Published in Astro AWANI on 21 November 2021.