BeFunky-design

Belia pemangkin dalam reset politik, kukuhkan demokrasi

Watch the video here  

Produced by Astro AWANI

Golongan belia menerusi Undi18 dijangka akan menjadi pemangkin kepada reset atau permulaan semula dalam sistem politik negara pada tahun baharu ini.

Pengarah Komunikasi Institut Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (REFSA), Raja Ahmad Iskandar Fareez berpendapat, biarpun sukar menjangkakan isu yang akan diperjuangkan golongan anak muda, namun situasi semasa dilihat menaikkan kredibilti mereka di mata masyarakat.

“Tahun 2022 ini, kita akan saksikan pertembungan dua kelompok. Kelompok pertama ialah mereka yang mahukan status quo, di mana keputusan dan proses politik menjadi eksklusif kepada golongan elit yang sekali gus menjarakkan rakyat daripada proses pentadbiran.

“Kelompok kedua adalah mereka yang mahu lebih demokrasi, mahu merancakkan sistem demokrasi dengan melibatkan rakyat dalam proses membuat keputusan.

“Jika kita lihat, pembabitan anak muda dalam sukarelawan dan sebagai pembuat dasar dapat menambahkan keyakinan terhadap mereka, selain membantu memperkasa anak muda dalam menjana idea baharu bagi mencari penyelesaian isu masyarakat,” katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Fokus Minggu Depan di Astro AWANI, pada Sabtu.

Ujarnya, situasi ini akan memperlihatkan persaingan dalam kalangan pemain politik untuk cuba memancing perhatian dan sokongan anak muda yang mampu memberi perbezaan terhadap skala kepercayaan orang ramai.

“Kita akan nampak blok politik cuba mendekati mereka, cuba pikat mereka dan lebih penting pujuk mereka ke peti undi. Siapa yang dapat meyakinkan mereka, dialah yang akan dapat kelebihan,” katanya lagi.

Beliau juga berpandangan disruption seumpama ini perlu dalam politik bagi menjamin kekukuhan institusi demokrasi.

“Distruption (dalam politik) ini proses berterusan. Jika anak muda yang progresif tidak memperjuangkan isu-isu tertentu, maka golongan yang nak jadikan politik hak eksklusif mungkin akan membalikkan arus perubahan ini.

“Dapat dilihat di negara luar yang sudah capai satu tahap pendemokrasian, tetapi kini merudum demokrasinya kerana ada backlash dari golongan konservatif dan mahu kuasa tertumpu di tangan elit.

“Kita kena fahamkan rakyat yang reset ini proses, ia bersifat fluid dan perlu diperjuangkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

 

Watch the video here  

 

-Published in Astro AWANI on 1 January 2022.