Capture

Belanjawan 2022 dan Transformasi Parlimen

By Fakhrurrazi Rashid

Pada 13 September 2021, kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk melaksanakan pembaharuan parlimen dan usaha ini perlu dilaksanakan dalam kadar segera.

Antara pembaharuan tersebut adalah mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen, peruntukan saksama kepada semua ahli parlimen, memberi kemudahan sewajarnya kepada Ketua Pembangkang, dan menstrukturkan semula sistem Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK).

Setakat ini, beberapa perkara dilaksanakan dan selebihnya masih dalam perbincangan.

Hakikatnya, transformasi parlimen kian mendapat tempat dalam diskusi awam.

Tekanan dan manipulasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin ke atas parlimen sewaktu pandemik telah mencipta desakan yang kuat daripada rakyat untuk mengembalikan martabat institusi ini.

Tetapi, agak janggal sekiranya perubahan parlimen ini tidak datang dengan komitmen kewangan yang besar bagi membina semula sistem demokrasi berparlimen yang hampir lumpuh ketika pandemik.

Persoalannya, sejauh manakah Belanjawan 2022 dapat merealisasikan perubahan parlimen seperti yang diharapkan?

Paradigma baharu 

Dengan komitmen kerajaan Ismail Sabri untuk melaksanakan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, Belanjawan 2022 perlu membawa paradigma baharu kepada parlimen yang lebih kukuh dan berautonomi dalam menguruskan hal ehwalnya secara bebas.

Matlamat ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) 1963 yang memberi kuasa kepada parlimen bergerak bebas tanpa campur tangan pihak eksekutif.

Ini bermaksud, parlimen mempunyai hak untuk menentukan perbelanjaan kewangan dan tadbir urusnya sendiri, termasuklah mengaji kakitangan atau melaksanakan program bagi memperkukuh fungsi parlimen.

Ia amat berbeza dengan situasi hari ini apabila pengurusan parlimen diletakkan bawah seorang Menteri di JPM (Parlimen dan Undang-Undang).

Kuasa ini akan diberikan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan mentadbir parlimen secara bersama selepas PSA dilaksanakan.

Dari sudut yang berbeza, pelaksanaan PSA ini mempunyai nilai ekonomi yang menguntungkan rakyat.

Dengan adanya autonomi kewangan, Parlimen mempunyai kebebasan untuk membelanjakan dananya sendiri, termasuklah dalam mengaji kakitangan.

Bayangkan sahaja, jika parlimen berhasrat untuk memperluaskan bahagian penyelidikan dan pembangunan parlimen, ramai anak muda serta tenaga pakar dalam pelbagai bidang boleh diambil menjadi kakitangan parlimen bagi memperkukuh kajian dasar dan membantu ahli parlimen dalam sistem JPK.

Penambahan peruntukan buat parlimen juga penting untuk menyokong kerja-kerja JPK.

Jika Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dianggarkan menerima RM 1.5  juta setahun untuk menjalankan tugasnya, maka JPK yang ada di parlimen perlu mendapat peruntukan yang sama, sekurang-kurangan RM 1 juta setahun bagi setiap JPK.

Dengan adanya sembilan buah JPK di Dewan Rakyat dan tiga lagi di Dewan Negara, parlimen sekurang-kurangnya memerlukan lebih RM 12 juta setahun untuk menyokong kerja-kerja JPK di parlimen.

Ini tidak lagi termasuk dengan Peruntukan Kawasan Parlimen bagi setiap wakil rakyat dalam membantu wakil rakyat di peringkat kawasan.

Saya menjangkakan parlimen Malaysia mendapat peruntukan sekurang-kurangan RM 500 juta dalam Belanjawan 2022, yakni dua kali ganda lebih besar daripada peruntukan Belanjawan 2021 sebanyak RM 145.3 juta.

Ia adalah satu peruntukan realistik bagi memulakan usaha mereformasi parlimen.

Membidas pandangan kurang tepat

Ada segelintir pihak yang melihat pelaburan dalam institusi parlimen adalah satu pembaziran dan tidak memberi manfaat langsung kepada rakyat dan hanya menguntungkan puak elit ahli parlimen sahaja.  Persepsi ini tidak tepat dan berpandukan asas yang lemah.

Sebenarnya, peruntukan parlimen dalam setiap belanjawan tahunan kerajaan adalah lebih rendah berbanding kementerian yang ada.

Contohnya, dalam Belanjawan 2021, peruntukan Kementerian Belia dan Sukan berjumlah RM 326.4 juta lebih tinggi berbanding peruntukan parlimen sebanyak RM 145.3 juta.

Jadi, tidak tepat sama sekali menyatakan parlimen mempunyai dana yang besar setiap tahun.

Malah, peruntukan “Program Pembangunan” dibawah kuasa Perdana Menteri dalam Belanjawan 2021 adalah sebanyak RM 500 juta, iaitu tiga kali ganda lebih besar daripada peruntukan parlimen.

Limitasi kewangan ini menjadi faktor parlimen tidak dapat berfungsi dengan baik dan bebas daripada cengkaman jemaah menteri.

Fakta-fakta ini adalah realiti sebenar kedudukan parlimen dalam belanjawan kerajaan.

Pihak kerajaan lebih gemar menyalurkan dana dalam program politik yang menguntungkan parti pemerintah.

Contohnya, Belanjawan 2021 menyalurkan RM 8.8 juta bagi menubuhkan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) untuk mengaji 288 orang anggota politik PN bagi menyampaikan propaganda kerajaan di kawasan pembangkang.

Peruntukan kepada program politik yang menjejaskan sistem demokrasi negara dan menguntungkan sebilangan kecil pihak tertentu  perlu dihentikan.

Lebih baik jika peruntukan ini disalurkan kepada pembaharuan institusi parlimen agar parlimen benar-benar berfungsi dalam mencari solusi yang membawa impak positif kepada kesejahteraan rakyat.

Malah, peruntukan khusus kepada ahli parlimen boleh digunakan bagi membangunkan kesejahteraan rakyat di kawasan mereka, termasuk membantu mereka yang memerlukan.

Dengan peruntukan parlimen setimpal, ia juga boleh mengendurkan keghairahan ahli parlimen membuat percaturan politik yang tidak berintegriti dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas hakiki mereka. Bukankah ini satu tawaran yang baik?

Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober ini, perlu menjadi pencetus kepada pembaharuan parlimen yang berdaya tahan dan demokratik.

Reformasi parlimen ialah agenda nasional yang harus dibincang secara aktif dan melangkaui politik kepartian.

Jika usaha ini berjaya, maka sokongan rakyat terhadap kerajaan sedia ada tentunya akan meningkat.

Jika tidak, kemampuan Ismail Sabri dalam membawa transformasi politik tentunya akan dipertikai oleh rakyat, khususnya kejujuran kerajaan persekutuan dalam menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

 

-Published in The Malaysian Insight on 25 October 2021.

 

 

Your Cart
SUPPORT US