Reported in Astro Awani
KUALA LUMPUR : Perbalahan demi perbalahan berkaitan Belanjawan 2021 menunjukkan kerajaan dan pembangkang sebenarnya tiada hala tuju dan matlamat jelas mengenai belanjawan itu.
Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berkata, saling tidak bersetuju adalah perkara normal namun jika terlalu kerap, tindakan itu menunjukkan kelemahan kedua-dua pihak berkenaan.
Menurut beliau, percaturan masih berlaku selepas bacaan kali kedua dan meskipun kerajaan menyatakan belanjawan itu untuk semua pihak itu namun rakyat tidak melihat perkara itu berlaku.
“Saya fikir ini adalah zaman atau era di mana Malaysia dikatakan berada di tahap tiada kepimpinan di mana blok kerajaan, kalau kita lihat dalam undian peringkat jawatankuasa, undian mereka tidak mencecah 112 undi.
“Begitu juga dengan pembangkang, mereka hanya mencapai tahap sokongan di peringkat jawatankuasa, tidak sampai 100, itu pun sekali saja masa undian Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
“Kedua-dua belah pihak menunjukkan disiplin yang longgar,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANIpada Selasa.
Tambah beliau, rakyat dan pembangkang memberikan pelbagai cadangan untuk penambahbaikan belanjawan dan kini mereka perlu menilai adakah kerajaan responsif terhadap cadangan itu.
“Jika mereka tidak memberi reaksi yang positif kepada cadangan diberikan rakyat dan pembangkang, kita lihat kerajaan hari ini agak selesa apabila mereka berjaya melepasi beberapa fasa bacaan kali kedua dan peringkat jawatankuasa.
“Di pembangkang pula, perancangan mereka untuk kritik kerajaan dari sudut butiran belanjawan tetapi sejauh manakah pembangkang serius dalam memastikan kerajaan mengambil kira pandangan ini selepas perbahasan berlaku,” ujarnya.
Beliau berkata, seperti kelazimannya sebelum ini, cadangan pembangkang sering diketepikan selepas perbahasan selesai.