Screenshot 2021-11-05 112057

Apalah nasib parlimen kita…

By Fakhrurrazi Rashid

Dalam Belanjawan 2022, parlimen menerima dana sebanyak RM148.3 juta iaitu pertambahan sebanyak RM3.02 juta atau 2.04 peratus berbanding 2021. Bagaimanapun, ia sebenarnya kecil dan tidak signifikan.

Ia berbeza dengan Belanjawan 2019 apabila dana parlimen ditingkatkan kepada RM137.4 juta berbanding RM125 juta pada 2018 iaitu pertambahan sebanyak RM12 juta atau 8.95 peratus.

Hakikatnya, kadar penambahan RM12 juta itu adalah tiga kali ganda lebih besar daripada pertambahan dalam Belanjawan 2022. Dalam perkataan lain, Belanjawan 2022 menunjukkan bahawa sekali lagi institusi parlimen dipinggirkan.

Peruntukan parlimen dalam Belanjawan 2022 adalah 18 kali ganda lebih rendah berbanding Belanjawan 2021 bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) iaitu sebanyak RM2.65 bilion.

Persoalannya, bagaimana DBKL – yang hanya menguruskan bandar raya Kuala Lumpur – mempunyai dana yang lebih besar berbanding parlimen yang menguruskan seluruh rakyat Malaysia?

Apalah nasib parlimen kita. Setelah dimanipulasi sepanjang darurat dan pandemik oleh kerakusan badan eksekutif dan perdana menteri, usaha untuk membina semula asas yang baik tidak dimulakan dalam Belanjawan 2022.

Ironinya, peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam Belanjawan 2022 pula yang meningkat kepada RM12.2 bilion, iaitu 80 kali ganda besar daripada dana parlimen.

Politik kosmetik kerajaan

Dengan peruntukan sekecil itu, sejauh manakah transformasi parlimen yang dijanjikan kerajaan dan Ismail Sabri Yaakob kepada Pakatan Harapan (PH) dalam memorandum persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik dapat dilaksanakan segera?

Belanjawan 2022 sepatutnya menjadi permulaan terbaik untuk melihat transformasi parlimen dilaksanakan, terutama sekali apabila kerajaan mahu memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 untuk memberi autonomi kepada parlimen untuk ditadbir tanpa campur tangan eksekutif.

Sayangnya, perkara itu tidak berlaku. Belanjawan 2022 masih lagi dirangka menggunakan pendekatan pentadbiran BN yang menumpukan pemusatan dana di tangan perdana menteri, bukan untuk menyuburkan demokrasi berparlimen dan tadbir urus negara.

Malah, butiran agihan peruntukan kepada setiap jawatankuasa pilihan khas (JPK) di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta dana kawasan bagi semua ahli parlimen seperti yang dijanjikan dalam MOU Transformasi dan Kestabilan Politik, tidak kelihatan dalam Belanjawan 2022.

Dari sudut yang berbeza, agenda transformasi parlimen dilihat sebagai politik kosmetik kerajaan untuk menyedapkan hati rakyat dan menonjolkan imej kononnya Putrajaya kini bersikap terbuka ketika sebenarnya ia tidak berlaku sama sekali.

Sedar atau tidak, Belanjawan 2022 meneruskan pemberian dana khas secara besar-besaran kepada seorang perdana menteri. Dana khas itu merujuk kepada peruntukan yang hanya boleh dibelanjakan oleh perdana menteri mengikut budi bicaranya.

Kebanyakan peruntukan pembangunan JPM dalam Belanjawan 2022 adalah dana khas buat perdana menteri seperti Projek Khas (Butiran: 93500) sebanyak RM1 bilion, Dana Fasiliti (97000) sebanyak RM200 juta, dan Projek Mesra Rakyat (93600) berjumlah RM440 juta.

Dana khas itu dianggarkan berjumlah RM2.14 bilion atau 28 peratus daripada jumlah keseluruhan dana pembangunan. Bayangkan, seorang perdana menteri mendapat peruntukan dana khas yang nilainya 14 kali ganda lebih besar berbanding peruntukan parlimen.

Tidak peka nasib rakyat

Jumlah dana khas perdana menteri juga lebih besar besar berbanding Belanjawan 2021 Johor, iaitu sebanyak RM1.85 bilion. Ia dianggarkan empat kali ganda lebih tinggi berbanding Belanjawan 2021 Melaka berjumlah RM445. 96 juta.

Justeru, apakah rasional seorang perdana menteri mempunyai dana khas melebihi dana negeri? Bukankah ini satu pemusatan kuasa yang tidak sihat untuk sistem demokrasi berparlimen di negara kita?

Masalahnya, dana khas ini sukar untuk disemak secara terbuka. Jika kebanyakan ahli parlimen sendiri sukar mendapatkan maklumat tentang perkara ini, apatah lagi untuk ia diketahui orang awam.

Kurangnya ketelusan dan maklumat terperinci mengenai perbelanjaan dana khas perdana menteri ini menyebabkan ketirisan dan pembaziran sering berlaku.

Isu menarik taraf Seri Perdana dengan kos sebanyak RM30 juta ketika Covid-19 masih mencengkam merupakan contoh terbaik bagaimana seorang perdana menteri tidak peka kepada nasib rakyat yang terbeban dengan pandemik.

Dana khas yang besar itu lebih bermanfaat jika digunakan untuk membantu rakyat yang susah.

Apa harapan yang ada?

Pada umumnya, kekurangan dana parlimen dalam belanjawan kali ini perlu dirunding untuk diperbetulkan. Tidak munasabah sekiranya Ismail Sabri menawarkan transformasi parlimen dengan menandatangani MOU Transformasi dan Kestabilan Politik tetapi pada masa sama gagal memberi dana yang setimpal untuk memastikan institusi itu berfungsi dengan baik.

Pelaburan kepada parlimen adalah satu misi nasional. Institusi itu perlu diperkukuh bagi menangkis prasangka dan helah politik yang boleh menjejaskan kestabilan politik negara pada masa hadapan.

Ia adalah harapan besar rakyat yang mahukan sebuah negara demokratik dan tidak didominasi oleh perdana menteri yang lagak seperti presiden.

Wajar sekiranya parlimen menyemak ketelusan perbelanjaan dana khas buat perdana menteri agar ia benar-benar digunakan bagi mengatasi masalah rakyat. Tanpa kawalan yang konsisten daripada parlimen, dana khas itu boleh disalahgunakan sekali lagi untuk kepentingan politik perdana menteri.

 

-Published in Malaysiakini on 4 November 2021.

 

 

Your Cart
SUPPORT US