COMMENTARY

APR 13, 2020

Adakah Covid-19 mengubah politik negara?

By Fakhrurrazi Rashid
 

Covid-19 telah mengembalikan kuasa agak luas kepada parti pemerintah yang belum berhadapan dengan ujian sokongan majoriti di Parlimen.

Pandemik Covid-19 sebenarnya telah memberi kesan kepada situasi politik dunia dan negara.

Meskipun ada yang cuba untuk melakukan ‘gencatan senjata’ dalam perbezaan politik waktu ini, tetapi realiti politik itu tidak pernah statik dan sentiasa bergerak.

International Crisis Group (ICG), sebuah badan pemikir di Belgium, menyatakan krisis pandemik Covid-19 memberi kesempatan kepada pemimpin kerajaan untuk meluaskan kuasa dan objektif mereka di peringkat antarabangsa dan politik domestik. Keputusan untuk menagguhkan pilihan raya, parlimen tidak berfungsi dan kawalan pergerakan ketika Covid-19 telah memberikan kuasa kepada kerajaan untuk bergerak lebih maju dari sudut kuasa politik tanpa semak dan imbang.

Stephen Welt, ahli akademik daripada Universiti Harvad melihat “Covid-19 bakal mencipta masyarakat yang mempunyai kebebasan terhad pasca-pandemik (‘less free’ post pandemic society). Kawalan kerajaan hari ini akan mewujudkan sebuah masyarakat yang terpaksa bergantung kepada pemerintah, dan ia akan berlanjutan dalam tempoh yang panjang. Manipulasi data dan informasi daripada pihak kerajaan boleh berlaku untuk mengawal tingkah-laku masyarakat.

Wolfgang Markel, pengarah Jabatan Demokrasi dan Pendemokrasian di Pusat Kajian Sains Sosial Berlin (WZB), menimbulkan dua senario yang boleh membentuk masyarakat ketika ini. Pertama, masyarakat akan hilang kepercayaan kepada sistem jika kerajaan gagal menangani krisis ini dengan baik. Kedua, kumpulan elit politik akan menggunakan pendekatan autokratik untuk menjayakan objektif mereka. Tambahnya lagi, situasi ini akan mencipta masyarakat yang berpandangan mereka tidak memerlukan parlimen atau demokrasi untuk mentadbir negara.

Disebalik kegelisahan ruang demokrasi yang terhad, Covid-19 telah mencipta solidariti antara masyarakat dunia untuk mengambil berat antara satu dan yang lain. Martin Voss, ahli Sosiologi daripada Universiti Berlin menyatakan keakraban dan solidariti kemanusiaan dalam keadaan yang menakjubkan ketika ini.

Namun, perbezaan kelas dan material boleh membawa kita kepada realiti ketidaksamrataan dari segi ekonomi yang membentuk rasa dan pemikiran yang berlainan ketika Covid-19. Voss menambah “mereka yang merasakan tidak dilayan dengan adil selama ini akan merasa bertambah tidak adil dan kumpulan selama ini mempunyai status akan rasa kelebihan mereka kian hilang”.

Hujah-hujah ini membawa kita kepada satu persoalan utama: adakah Covid-19 ini akan mengubah landskap politik Malaysia? Apakah destinasi Malaysia dalam aspek demokrasi dan ekonomi pasca-Covid-19 ini? Adakah nilai kemasyarakatan akan dibentuk ke arah menyokong kerajaan autokratik?

Pasca krisis yang berlaku di Malaysia akan mengukuhkan lagi parti pemerintah meskipun pun krisis telah memberi kesan buruk kepada rakyat. Reformasi 1998 meskipun memberi satu ledakan rakyat besar-besaran, Barisan Nasional pimpinan Dr Mahathir Mohamad kekal dipilih menjadi kerajaan dalam pilihan raya umum 1999.

BN terus kekal memerintah pada tahun 2013 meskipun ekonomi negara dihimpit dengan Krisis Kewangan Dunia tahun 2009. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dimulakan pada tahun 2012 telah menjadi dasar pendekatan lembut BN meraih sokongan rakyat. Pendekatan ini berjaya mengekalkan BN untuk satu penggal sebelum tewas dalam pilihan raya umum 2018.

Perikatan Nasioanl juga telah menggunakan pendekatan yang sama seperti BR1M, dengan memberikan Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Objektif utama BPN bukanlah menyelesaikan isu sebenar rakyat, tetapi sebagai mesej untuk menimbulkan keyakinan rakyat, melihat imej PN sebagai kerajaan yang seperti dipilih oleh rakyat.

Konsep ini dipanggil ‘balas budi’ daripada kerajaan dan sebagai balasannya, rakyat perlu menyokong kerajaan. Mengapa perkara ini masih berlaku meskipun kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil kerajaan pada 9 Mei 2018?

Berdasarkan buku How Democracies Die karya Steven Levitsky dan Daniel Ziblatt, usaha parti politik dan rakyat mempertahankan perlembagaan negara perlu diikuti dengan amalan nilai-nilai demokrasi. Tanpa nilai demokrasi ini, semak dan imbang terhadap perlembagaan sukar dilaksanakan. Pihak yang berkuasa akan menggunakan institusi rakyat, undang-undang dan media sebagai ‘senjata politik’ menumbangkan lawannya.

Kita mengakui PH telah melakukan pelbagai reformasi institusi dalam beberapa aspek urus tadbir negara. Tetapi, PH tertinggal dalam memperluaskan norma-norma demokrasi semasa pemerintahan. Reformasi institusi tanpa nilai demokrasi akan menggambarkan perubahan secara mendalam. Oleh sebab itu, sistem demokrasi negara hari ini masih sama dan mampu mengembalikan pemimpin politik autokratik bagi mengawal pandangan rakyat.

Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata (Bernama, 4 April 2020) “kalau orang menolak parti politik itu lazim, tetapi jangan sampai orang menolak kerajaan kerana akan berlaku ketidakstabilan dan sebagainya”.

Mesej ini jelas untuk menimbulkan rasa sebersalah kepada rakyat agar tidak mengkritik dan menolak kerajaan PN yang kini sedang membeli masa untuk menstabilkan kedudukan politik mereka.

Persoalan besar yang kita hadapi sekarang ialah isu ketelusan dan keterbukaan kerajaan PN dalam membuat keputusan. Begitu penting ketelusan ketika ini bagi memastikan keputusan dibuat adalah tepat dan tidak memanfaatkan hanya sebahagian pihak.

Tetapi, kerana tiada institusi perundangan yang berfungsi dengan baik buat masa ini, maka tiada sebarang semak dan imbang yang boleh dilakukan ke atas PN.

Dalam satu program di Astro Awani, Dzulkefli Ahmad, bekas menteri kesihatan, yang kini mengetuai Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor, memberitahu kerajaan negeri mempunyai akses data Covid-19 yang terhad daripada Kementerian Kesihatan. Tanpa data yang tepat, kerajaan negeri tidak boleh melakukan ikhtiar lain seperti memperluaskan ujian Covid-19 dan sasaran mikro.

Maklumat yang terhad ini daripada kerajaan persekutuan agak bercanggah dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang mengetengahkan pendekatan kerajaan dan masyarakat menyeluruh.

Kerajaan persekutuan tidak boleh bertindak sendiri sekiranya mereka benar-benar mahu meredakan lengkok Covid-19 di seluruh negara. Kurangnya koordinasi dengan semua pihak berkepentingan bermaksud kerajaan persekutuan tidak komited bekerjasama secara serius dalam memerangi Covid-19.

Dengan situasi kawalan kerajaan PN hari ini, kita dapat rumuskan bahawa Covid-19 tidak mengubah politik negara ke arah yang lebih terbuka dan demokratik. Ia telah mengembalikan kuasa agak luas kepada parti pemerintah yang belum berhadapan dengan ujian sokongan majoriti di Parlimen. Semak dan imbang kepada kerajaan sama sekali tidak berlaku ketika krisis dan ini akan membuka risiko kepada ketirisan dan salah guna kuasa.

Walau bagaimanapun, kerajaan PN juga akan menempuh jalan sukar pada sidang parlimen 18 Mei nanti. Penilaian dan semakan kepada urus tadbir ketika Covid-19 akan menjadi agenda utama ahli Parlimen.

Terdapat risiko Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020 tidak dapat diluluskan Parlimen disebabkan jumlah ahli parlimen PH dan PN agak nipis. Ketidakstabilan kerajaan PN boleh berlaku dan berkemungkinan pilihan raya umum akan dipanggil.

Politik tidak akan lari daripada persoalan “Who gets what, when and how?” dan pihak yang paling untung dalam krisis Covid-19 ialah BN, blok terbesar dalam PN.

Disebabkan Bersatu masih lagi tidak menentukan hala tuju parti dan kepimpinan, maka kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri boleh terjejas sekiranya pasukannya tewas dalam pemilihan dengan kem Mahathir. Ketidaktentuan ini memberi kesempatan kepada BN untuk bangkit sebagai parti pemerintah semula.

— Published in Thinking Allowed Online section of Aliran on 19 April 2020

Your Cart
SUPPORT US