COMMENTARY

61575288814_benderaparti
JUNe 29, 2020

Akta menetapkan tarikh pilihan raya perlu untuk kestabilan politik Malaysia

by FAKHRURRAZI RASHID
 

PADA 3 Jun 2020, Sultan Johor, Sultan Ibrahim telah memberi amaran kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Johor) bahawa baginda akan membubarkan DUN sekiranya perebutan kuasa masih berlaku di Johor.

Baginda juga memberi mandat kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat negeri itu melalui pilihan raya sekiranya DUN telah dibubarkan.

Perkara ini timbul susulan daripada percaturan politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) di Johor. Situasi ini telah mencipta ketidakstabilan politik di peringkat persekutuan dan negeri ketika rakyat sedang berhadapan pandemik Covid-19.

Meskipun kerajaan PN telah mengambil alih Putrajaya dan beberapa kerajaan negeri, namun kedudukan mereka masih tidak kukuh kerana perbezaan jumlah kerusi yang kecil dengan PH. Sekiranya kedudukan PN tergugat, maka ada kebarangkalian pilihan raya akan berlaku.

Ada pihak yang melihat kepentingan Akta atau Rang Undang-undang (RUU) Anti-Lompat Parti bagi mengelakkan wakil rakyat beralih sokongan kepada parti atau blok lain. Tujuannya adalah untuk mengekalkan kestabilan politik negara.  Ini bukanlah satu cadangan baharu dalam politik Malaysia. 

Pasca PilIhan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan parti politik seperti UMNO dan Pas mendesak agar undang-undang ini  diluluskan segera oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas terdapat kemungkinan wakil rakyat mereka akan ‘melompat’ menyokong parti pemerintah. 

Kerajaan PH telah membuat keputusan untuk tidak menggubal undang-unadang mengharamkan lompat parti kerana ia bercanggah dengan Perkara 10(1)(c) perlembagaan persekutuan yang memberi hak kepada rakyat untuk berpersatuan. Tetapi. kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saiffudin Abdullah yang mahu menggubal  undang-undang anti-lompat parti ini memberi gambaran kerajaan PN akan melaksanakannya.

Pakar perlembagaan, Profesor Shad Saleem Faruqi turut memberi cadangan agar meminda perkara 48 dan perenggan keenam Jadual Kelapan perlembagaan persekutuan untuk melaksanakan larangan wakil rakyat di parlimen dan DUN melompat parti. Tentunya, pindaan ini memerlukan majoriti dua pertiga di parlimen.

Perkara 10(2)(c) perlembagaan persekutuan memperuntukkan parlimen menggubal RUU untuk meletakkan syarat atau limitasi dalam hak berpersatuan dan anti-lompat parti. Kaedah ini hanya memerlukan majoriti mudah di parlimen. 

Hakikatnya, perbincangan mengenai RUU anti-lompat parti di Malaysia sudah tepu dan hujah yang diberikan masih berlandaskan retorik politik. Masalah utama dalam membawa RUU ini ialah tiada kesanggupan politik dalam kalangan ahli politik itu sendiri.

Di Malaysia, perancangan untuk menetapkan tarikh pilihan raya merupakan sebahagian  Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bagi mereformasi institusi perundangan dan pilihan raya Malaysia. Ia memperuntukan kerajaan persekutuan untuk menetapkan tarikh pilihan raya. Ia sebahagian komitmen kerajaan PH dalam mereformasi institusi politik Malaysia berdasarkan Buku Harapan.

Sekiranya pembubaran parlimen berlaku sebelum tarikh yang ditetapkan, ia hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat kelulusan daripada parlimen sendiri. Ia juga merupakan usaha meningkatkan akauntabiliti, integriti dan kestabilan politik dalam tadbir urus negara.

Kita boleh merujuk negara demokrasi berparlimen seperti parlimen United Kingdom yang telah menetapkan tarikh pilihan raya. Pada tahun 2011, parlimen UK telah meluluskan Fixed-Term Parliaments Act (FTPA) 2011. FPTA menetapkan tarikh pilihan raya seterusnya dalam tempoh satu penggal atau lima tahun.

Contohnya, sekiranya pilihan raya telah berlaku pada 9 Mei 2018, maka pilihan raya berikutnya ditetapkan pada 9 Mei 2023.

Cadangan FPTA ini berdasarkan rundingan gabungan parti Konservatif dan Liberal Demokrat UK yang mempunyai majoriti kecil pada tahun 2010 dan mahu mengelak berlakunya pembubaran parlimen atau pilihan raya lebih awal sekiranya mendapat undi tidak percaya daripada parlimen. 

Akta ini bertujuan untuk memberi laluan kepada kerajaan untuk mentadbir negara dalam tempoh satu penggal penuh dan mengurangkan risiko ketidakstabilan kerajaan. FPTA memberikan satu tatacara demokratik dalam menguruskan kestabilan politik negara sekiranya berlaku undi tidak percaya kepada perdana menteri  yang akan membawa kepada pembubaran parlimen dan pilihan raya lebih awal.

Sekiranya perdana menteri mahukan pilihan raya awal, usul tersebut perlu mendapatkan kelulusan sekurang-kurangan majoriti dua pertiga daripada ahli parlimen.  Jika berlaku  undi tidak percaya kepada perdana menteri dan dalam tempoh 14 hari tiada kerajaan baharu dapat dibentuk, maka pilihan raya umum akan diadakan. 

Akta ini menjadi semak dan imbang kepada kuasa perdana menteri yang begitu berpengaruh dalam membubarkan parlimen dan menentukan tarikh pilihan raya berdasarkan percaturan politik yang menguntungkan pihaknya. Kaedah lama ini tidak telus dan boleh memberi kesan kepada ekonomi dan pelaksanaan dasar kerajaan. 

Kuasa untuk membubarkan parlimen merupakan satu alat yang begitu berisiko apabila kuasanya terletak di tangan perdana menteri. Cadangan ini adalah untuk memastikan kuasa membubarkan parlimen tidak disalahgunakan dengan meletakkan tatacara yang telus dan terbuka.

Secara dasarnya, Malaysia memerlukan RUU seperti FTPA bagi memastikan kerajaan berasaskan madat rakyat dapat meneruskan pentadbiran satu penggal penuh. Perbahasan mengenai cadangan ini perlu diperluaskan segera. Ia juga dapat mengelakkan percaturan politik yang tidak bermoral sehingga membelakangkan mandat rakyat. Apa yang lebih penting, RUU ini memberi tatacara peralihan kuasa kerajaan yang lebih teratur, telus dan terbuka.

Namun, sehingga hari ini, tiada sebarang kemajuan yang telah ditunjukkan untuk menggubal dasar ini, termasuk RUU anti-lompat parti. Sekiranya perkara ini tidak disegerakan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan dan parlimen, maka ia memberi satu kerugian buat negara dalam memperbaharui proses peralihan kuasa dan pilihan raya yang lebih telus dan demokratik.

— Published in Astro Awani on 29 June 2020.

Your Cart
SUPPORT US