refsa thumbnail resize for websitenewsletter(46)

REFSA: Pemerkasaan Dewan Negara Perlu Ditekankan dalam Agenda Transformasi Parlimen

Read press statement in English

Kenyataan Media oleh Fakhrurrazi Rashid, Koordinator Penyelidik, Research for Social Advancement (REFSA) pada 30 Disember 2022.

Kuala Lumpur, 30 Disember 2022 – Badan pemikir progresif, Research for Social Advancement (REFSA), menyarankan pemerkasaan peranan Dewan Negara sebagai salah satu komponen utama agenda Transformasi Parlimen.

Dalam pada menyambut baik syor-syor Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Johari Abdul dan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim seperti yang terangkum dalam serahan Memorandum Transformasi Parlimen kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 29 Disember 2022, REFSA juga berpendirian pemilihan Senator melalui pilihan raya perlu diteliti bagi mengangkat institusi tersebut sebagai Dewan Tertinggi Negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Transformasi Dewan Negara mampu memperluaskan lagi kuasa pengundi dalam memilih Senator yang boleh mewakili aspirasi mereka di Dewan Negara, khususnya mewakili kepentingan negeri, Sarawak, dan Sabah. Komitmen ini jika dilaksanakan secara berperingkat, mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi Dewan Negara yang masih dianggap ‘rubber stamp’ oleh sebahagian rakyat.

Usaha ini selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan sistem demokrasi berparlimen yang merupakan denyut nadi rakyat Malaysia dalam mencapai kehidupan yang lebih baik dan sebagai institusi yang membincangkan hala tuju negara.

Selain itu, pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 perlu dilakukan dalam tempoh terdekat sebagai komitmen memastikan Parlimen mempunyai autonomi untuk menentukan perancangan dasar dan pentadbiran secara kendiri. Langkah ini juga dapat memperkukuh mekanisme semak dan imbang Parlimen bagi mengawal selia badan eksekutif dengan lebih efektif.

Penambahbaikkan institusi badan perundangan di peringkat negeri juga harus berlaku seiring dengan Transformasi Parlimen di peringkat Parlimen Malaysia. Perkara ini dapat dicapai melalui pemerkasaan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia yang dianjurkan setiap tahun dalam merancang dan melaksanakan agenda reformasi parlimen secara bersama.

REFSA berharap agar pihak Parlimen Malaysia dan kerajaan Perpaduan mempunyai iltizam yang tinggi dalam meneruskan sesi libat urus dan program advokasi bersama pemegang taruh bagi menambah baik sistem demokrasi berparlimen negara dan memperluaskan lagi kesedaran rakyat akan kepentingan institusi parlimen, khususnya kepada golongan belia.

Read press statement in English

Your Cart
SUPPORT US