BeFunky-design

PRN Johor: Letak calon muda sahaja tidak memadai – REFSA

Watch the video here  

Meletakkan calon muda semata-mata dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah tidak memadai dalam usaha menambat hati hampir 750,000 pengundi baharu termasuk antara berusia 18 hingga 20 tahun menerusi Undi18.

Pengarah Komunikasi Research for Social Advancement (REFSA), Raja Ahmad Iskandar Fareez, berkata ia perlu diiringi dengan gagasan baharu yang sebati dengan jiwa anak muda.

“Dengan mengetengahkan calon baru sahaja tidak cukup, perlu juga diiringi dengan gagasan atau idea yang baharu yang sebati dengan jiwa orang muda

“Kalau kita lihat, cabaran COVID-19 yang tiada penghujungnya, kita dapat lihat disebabkan pandemik itu, impaknya kepada ekonomi cukup besar sehinggakan anak-anak muda tiada peluang pekerjaan dan menjejaskan perniagaan mereka.

“Dan ini bukan perkara baharu, ketandusan peluang ekonomi ini juga telah berlangsung sejak prapandemik lagi.

“Yang mana kita dapat lihat anak-anak muda mencari rezeki sehingga terpaksa berhijrah ke Singapura dan Kuala Lumpur untuk mencari rezeki buat mereka dan keluarga.

“Jadi, keutamaan yang perlu diberikan oleh calon muda ini adalah idea untuk bangkit daripada COVID-19, sektor ekonomi dan bangkit dari bencana seperti banjir yang berlaku baru-baru ini,” ujarnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.

Bagi pengundi muda yang bakal menunaikan tanggungjawab demokrasi buat kali pertama, Ahmad Iskandar menasihatkan mereka melakukan kajian sebelum memilih calon pemimpin.

Ini kerana jelasnya, dinamik politik ketika ini adalah berbeza dengan Pilihan Raya Umum ke-14 kerana parti politik kini mempunyai lebih daripada tiga gabungan, justeru memerlukan pemahaman lebih mendalam terhadap setiap pendirian politik.

Watch the video here  

-Published in Astro AWANI on 25 January 2022.

Your Cart
SUPPORT US