refsa thumbnail resize for websitenewsletter(4)

3 fokus utama pembukaan DUN Johor

By Fakhrurrazi Rashid

SIDANG pertama Dewan Negeri (DUN) Johor bagi penggal ke-15 bermula hari ini dan ia akan menjadi tumpuan penting buat Bangsa Johor bagi melihat kemampuan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar baharu, Onn Hafiz Ghazi mengemudi hala tuju negeri.

Meskipun Johor dalam fasa pemulihan ke arah endemik, tetapi cabaran besar seperti kenaikan harga barang, kos sara hidup, dan gaji pekerja kekal rendah amat dirasai oleh rakyat Johor. Maka, persidangan DUN kali ini adalah ruang terbaik mencari solusi untuk memastikan keputusan dasar kerajaan negeri benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat.

Ini juga peluang kerajaan negeri dan Ahli Dewan Negeri (Adun) membahaskan hala tuju dan perubahan struktural bagi memperkukuh sistem urus tadbir Johor.

Jadi, apakah utama yang akan dibahaskan oleh Adun dan kerajaan negeri pada sidang DUN Johor kali ini?

Pertama, Reformasi Politik Johor. Perkara ini merupakan tawaran utama yang dikemukakan parti politik sewaktu pilihan raya negeri (PRN) Johor ke-15 pada Mac lalu.

Antara usaha merealisasikan agenda ini adalah penubuhan Jawatankuasa Pilihan Persempadanan DUN bagi mengkaji semula persempadanan DUN agar ia benar-benar adil bagi menampung jumlah pengundi yang semakin bertambah.

Blok Pembangkang di Johor juga dilihat telah membuat persediaan bagi memperkuat peranan semak dan imbang yang konstruktif dengan memperkenalkan senarai jurucakap untuk memantau setiap portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) secara spesifik.

Ketua Pembangkang Johor yang juga Adun Perling Liew Chin Tong telah mencadangkan lima Jawatankuasa Pilihan (JP) dwipartisan untuk melibatkan semua Adun dalam proses membuat keputusan dasar kerajaan seperti JP Tadbir Urus Cekap dan Berintegriti, JP Masalah Iklim, Perancangan Bandar dan Luar Bandar, dan JP Ekonomi dan Kesejahteraan Bangsa Johor.

Perubahan politik ini sudah pasti menjadi tumpuan sidang DUN Johor bagi memastikan sistem pentadbiran negeri dapat bertahan dan menangkis cabaran-cabaran baharu pada masa hadapan. Persoalannya, sejauh manakah agenda reformasi politik ini dapat dilaksanakan?

Kedua, perancangan pemulihan ekonomi negeri dan rakyat Johor. Kenaikan harga barang dan kos sara hidup di Johor antara perkara yang amat dirasai oleh rakyat kebanyakan.

Bagi mengatasi cabaran ini, kerajaan negeri sedang melaksanakan Program Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) yang dianggarkan bernilai RM144.36 juta untuk 3.96 juta rakyat Johor.

Namun, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu seperti perang Rusia dan Ukraine, kerajaan negeri dan Adun harus memikirkan dasar yang lebih strategik bagi memastikan sektor ekonomi Johor berdaya tahan. Dan, sudah pasti usaha menarik pelabur merupakan fokus utama kerajaan negeri.

Pada tahun ini, kerajaan negeri Johor mensasarkan pelaburan lebih tinggi berbanding pelaburan RM 7 bilion pada tahun lepas yang kebanyakan disumbang oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Sasaran ini dilihat selari dengan pembukaan sempadan antarabangsa dan ia mampu merancakkan ekonomi Johor. Soalnya, bagaimanakah kerajaan negeri dapat memberi jaminan pelaburan ini benar-benar memberi impak kepada ekonomi rakyat?

Ketiga, dasar menarik tenaga mahir. Ekonomi Johor mendapat kesan positif apabila sempadan antarabangsa dibuka, khususnya dalam sektor pelancongan yang menerima ramai pengunjung dari Singapura. Malangnya, Johor juga kehilangan ramai tenaga kerja tempatan apabila mereka kembali bekerja di Singapura.

Bulan lalu, dilaporkan Johor kekurangan jururawat antara 15,000 hingga 18,000 orang. Masalah ini timbul akibat kebanyakan jururawat tempatan mendapat tawaran yang lebih baik di Singapura.

Apa yang lebih membimbangkan adalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor ini akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan Johor bagi menampung pertambahan pesakit dan pembukaan hospital baharu.

Kekurangan tenaga kerja dan pekerja asing juga berlaku di sektor lain seperti pelancongan, runcit serta makanan dan minuman (F&B). Sehinggakan, kekurangan tenaga kerja di sektor makanan menyebabkan bekalan ayam di Johor berkurangan sebanyak 40 peratus pada Mei.

Situasi ini menggambarkan realiti sebenar sektor pekerjaan di Johor dan Malaysia yang masih berdolak-dalik dalam menyediakan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik.

Dari sudut yang berbeza, masalah ini memerlukan komitmen kerajaan negeri dan Adun bagi membahaskan model ekonomi Johor yang lebih mampan untuk mengatasi kelemahan struktural ekonomi Johor yang sukar menarik penyertaan pekerja tempatan.

Tentunya, kesemua Adun Johor akan membentangkan pandangan dan cadangan mereka bagi menyelesaikan isu rakyat di dalam sidang DUN kali ini, termasuk masalah di kawasan mereka masing-masing seperti banjir dan kekurangan infrastruktur. Tetapi, tiga fokus di atas sudah pasti akan menjadi topik utama mereka sewaktu perbahasan di dalam DUN Johor.

Pembukaan DUN kali ini adalah permulaan atau gambaran awal tentang hala tuju dan fokus utama kerajaan negeri Johor dalam merangka Belanjawan 2023 tidak lama lagi.

Justeru, penglibatan rakyat dan pemegang taruh dalam sidang kali ini amat mustahak sekiranya kerajaan negeri komited membawa perubahan kepada ekonomi dan kemakmuran negeri Johor.

Ia juga penting untuk menunjukkan bagaimana sistem demokrasi berparlimen di negeri Johor kian matang, terbuka, dan berkembang pesat setelah melalui ranjau politik sejak beberapa tahun lalu.

Harapan rakyat Johor sudah pastinya terletak di bahu kerajaan negeri dan Adun untuk sama-sama membincangkan idea dan pandangan bagi memastikan keputusan dibuat benar-benar memberi kesan positif kepada kesejahteraan hidup mereka.

 

 

 

-Published in The Malaysian Insight on 16 June 2022.

Your Cart
SUPPORT US